Pengiktirafan Nasional: MINDMATICS SDN BHD Berjaya Memperoleh Geran PQC di Bawah Program Sandbox Pelan Migrasi Kebangsaan
Putrajaya, 14 Ogos 2025 – Mindmatics Sdn. Bhd., syarikat tempatan dalam bidang sistem elektronik pertahanan, telah berjaya memperoleh geran di bawah Program Proof of Concept (POC) Post-Quantum Cryptography (PQC) Inisiatif Sandbox Pelan Migrasi PQC Kebangsaan. Geran ini ditawarkan hasil penilaian oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bersama Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM).
Inisiatif ini merupakan langkah strategik negara dalam membangunkan keupayaan kriptografi pasca-kuantum (Post-Quantum Cryptography, PQC) yang kritikal untuk keselamatan komunikasi, perlindungan data pertahanan, dan ketahanan siber nasional menghadapi ancaman teknologi kuantum.
Majlis penyerahan surat tawaran telah diadakan pada 14 Ogos 2025 di Hotel Dorsett Putrajaya, dan telah disertai oleh wakil rasmi Mindmatics Sdn. Bhd., En Mohd Yazid Bin Abd Razak, Ketua Jabatan Komunikasi.
Kejayaan ini mengukuhkan lagi peranan Mindmatics sebagai rakan industri yang menyokong aspirasi kerajaan dalam memperkukuh kedaulatan siber, keselamatan maklumat, serta kesiapsiagaan pertahanan negara di era teknologi kuantum.