Skip to main content

RADCOM sistem komunikasi radio mudah alih digital buatan Malaysia



News Source: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan, Mindmatics Sdn Bhd (Mindmatics) berjaya membangunkan sistem komunikasi Radio Mudah Alih Digital (DMR) dikenali sebagai RADKOM atau Radio Komunikasi Malaysia bagi memperkukuh keupayaan komunikasi strategik negara.

Pengarah Mindmatics, Abdul Wahab Sulaiman, berkata sistem berkenaan yang dibangunkan sejak tahun lalu selaras dengan usaha syarikat memperkasakan teknologi komunikasi digital tempatan yang selamat, efisien dan berteknologi tinggi.

Beliau berkata, nama RADKOM diberikan secara rasmi oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.

“RADKOM telah melalui fasa ujian dalaman dan kini bersedia untuk menjalani ujian kesesuaian oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menilai keberkesanan sistem dalam persekitaran operasi sebenar.

“Sistem ini juga menggunakan piawaian DMR yang dibangunkan mengikut standard Institut Piawaian Telekomunikasi Eropah (ETSI) yang turut diguna pakai secara meluas di peringkat global,” katanya kepada Bernama.

Abdul Wahab berkata, antara kelebihan utama sistem berkenaan adalah penggunaan frekuensi yang lebih efisien dan tersusun, sekali gus meningkatkan kualiti komunikasi serta mengurangkan gangguan isyarat.

Selain itu, katanya, penggunaan sistem trunking membolehkan komunikasi dilakukan dengan lebih selamat, stabil dan tersusun, terutama dalam operasi berskala besar melibatkan pelbagai agensi.

Beliau berkata, sistem itu menyokong komunikasi secara berkumpulan dan individu, menjadikannya sangat sesuai untuk kegunaan pelbagai sektor termasuk agensi keselamatan, utiliti dan pengangkutan.

“Dari aspek keselamatan, RADKOM dilengkapi ciri penyulitan data berteknologi tinggi termasuk AES-256 yang merupakan piawaian penyulitan gred tentera paling kukuh di dunia buat masa ini serta dilengkapi teknologi kriptografi pasca-kuantum, sekali gus meningkatkan tahap perlindungan maklumat,” katanya.

Menyentuh mengenai spesifikasi peranti, Abdul Wahab berkata RADKOM direka dengan prestasi lasak mengikut standard ketenteraan untuk kegunaan dalam persekitaran mencabar serta menyokong operasi mod digital dan analog dengan julat frekuensi 350 hingga 479 megahertz (MHz) dan kuasa penghantaran sehingga empat wat

“RADKOM dilengkapi dengan sistem GPS, bateri berkapasiti 3000mAh jenis lithium polymer serta keupayaan operasi dalam suhu antara -20 hingga 60 darjah celsius dengan kelembapan sehingga 95 peratus,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan sistem itu merupakan langkah penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar serta memperkukuh ekosistem keselamatan dan komunikasi tempatan dan mudah dihasilkan untuk diperluaskan di peringkat nasional bagi kegunaan industri kritikal negara pada masa hadapan.

‘Todak’ – dron ‘kamikaze’ buatan pertama Malaysia, berfungsi serang tepat musnahkan sasaran

News Source: Berita Harian

KUALA LUMPUR: Dron amunisi musnah sendiri atau ‘kamikaze’ buatan pertama Malaysia yang juga ciptaan dirintis syarikat tempatan Mindmatics, bakal dikomersialkan tidak lama lagi.

Dinamakan sebagai ‘Todak’, dron inovatif itu mengambil masa setahun untuk dibangunkan dan kini masih dalam proses kajian dan pembangunan lebih lanjut yang dijangka selesai enam bulan lagi.

Memperkenalkan senjata itu pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024, di sini, Pengurus Projek Azman Ahmad, berkata dron terbabit berfungsi menyerang dengan tepat untuk memusnahkan sasaran yang dikehendaki.

“Sebelum ini, kami telah membangunkan dron pemantauan tetapi kali ini, kami maju selangkah lagi dengan dron ‘kamikaze’ untuk objektif dan tujuan khusus.

“Terdapat beberapa agensi menunjukkan minat terhadap produk ini, dan kami melihat ada potensi pasaran dalam kalangan agensi penguat kuasa tempatan serta wilayah,” katanya kepada Bernama di reruai Mindmatics pada pameran itu yang berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC), di sini.

‘Todak’ yang direka bentuk sebagai amunisi risikan dalam industri pertahanan, turut dilengkapi algoritma kawalan Kecerdasan Buatan (AI) serta Unit Kawalan Api (FCU) bersaiz kecil.

Azman berkata, dron itu dikuasakan dengan bateri litium-besi pepejal 25.5 voltan dengan masa operasi hingga 40 minit, selain berupaya terbang serta menyerang sasaran pegun atau bergerak tanpa memerlukan input pemantauan.

“‘Todak’ berukuran dua meter (m) panjang dengan kelebaran sayap 1.35m dan berat pelepasan maksimum 12 kilogram (kg). Ia mampu membawa beban seberat 3kg dan mencapai kelajuan 100 kilometer sejam dengan kaedah pelancaran menggunakan lastik (catapult),” katanya. – BERNAMA