RADKOM Mindmatics bukti kemampuan teknologi komunikasi tempatan
New Source: DagangNews
KUALA LUMPUR 23 April – Dalam landskap keselamatan moden, keupayaan pertahanan tidak lagi hanya bergantung kepada sistem persenjataan atau kenderaan semata-mata.
Sebaliknya, aspek komunikasi yang selamat dan terlindung kini menjadi komponen kritikal bagi memastikan kelancaran operasi jarak dekat mahupun jauh.
Keperluan ini menuntut pembangunan teknologi tempatan agar negara tidak terlalu bergantung kepada sistem luar.
Perkara itu dibuktikan oleh syarikat tempatan, Mindmatics Sdn Bhd (Mindmatics) yang berjaya membangunkan sistem Radio Mudah Alih Digital dikenali sebagai RADKOM.
Nama RADKOM atau Radio Komunikasi Malaysia itu diumumkan secara rasmi oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin sempena DSA 2026.
Sistem tersebut dibangunkan dalam tempoh setahun sebagai usaha memperkasakan teknologi komunikasi digital yang selamat dan efisien.
Menurut syarikat berkenaan, RADKOM kini telah melepasi fasa ujian dalaman dan bersedia menjalani ujian kesesuaian oleh Angkatan Tentera Malaysia.
Ujian itu penting bagi menilai keberkesanan sistem dalam persekitaran operasi sebenar yang lebih mencabar.
“RADKOM dibangunkan berasaskan piawaian Digital Mobile Radio mengikut standard European Telecommunications Standards Institute yang digunakan secara meluas di peringkat global.
“Antara kelebihannya termasuk penggunaan frekuensi yang lebih efisien, sekali gus meningkatkan kualiti komunikasi dan mengurangkan gangguan isyarat.
“Selain itu, sistem trunking yang digunakan membolehkan komunikasi lebih stabil dan tersusun terutama dalam operasi melibatkan pelbagai agensi,” menurut pihak Mindmatics dalam satu kenyataan.
RADKOM turut menawarkan komunikasi suara digital berkualiti tinggi serta keupayaan integrasi dengan sistem pengurusan operasi moden.
la menyokong komunikasi berkumpulan dan individu, menjadikannya sesuai untuk sektor kerajaan, keselamatan, utiliti dan pengangkutan.
Jelas Mindmatics, dari segi keselamatan sistem ini dilengkapi teknologi penyulitan AES-256 serta kriptografi pasca-kuantum bagi memastikan perlindungan data lebih menyeluruh.
“Peranti ini juga direka mengikut standard ketenteraan dengan tahap ketahanan tinggi serta perlindungan persekitaran yang sesuai untuk operasi lasak.
“Dengan keupayaan pengeluaran tempatan, RADKOM berpotensi diperluas di peringkat nasional dan
mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar,” ujar kenyataan itu.
Pembangunan ini dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem komunikasi dan
keselamatan negara. – DagangNews.com










