Mindmatics dan Nexcore dari China bangunkan sistem pertahanan siber generasi baharu berasaskan Ai
News Source: DagangNews
KUALA LUMPUR 9 Julai – Syarikat teknologi dan kejuruteraan tempatan, Mindmatics Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik dengan firma teknologi dari China, Nexcore Technology Co Ltd, bagi membangunkan sistem pertahanan siber generasi baharu yang menggabungkan kepakaran kecerdasan buatan (Al), sistem komunikasi maju dan tahap keselamatan tinggi.
Melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan membangunkan Next Generation Al Multi-source Communication Box, iaitu satu penyelesaian komunikasi keselamatan tinggi yang menggabungkan teknologi pertahanan elektronik dan sistem keselamatan siber berasaskan Al.
Perkongsian itu juga memfokuskan kepada pembangunan sistem pertukaran data selamat menerusi integrasi teknologi post-quantum cryptography (PQC), iaitu kaedah perlindungan keselamatan yang mampu menangkis ancaman daripada komputer kuantum pada masa hadapan.
Pengarah Mindmatics, Abdul Wahab Sulaiman berkata, kemunculan ancaman siber yang semakin kompleks memerlukan pendekatan keselamatan yang proaktif dan berinovasi.
“Langkah keselamatan tradisional tidak lagi mencukupi. Masa depan pertahanan siber terletak pada keupayaan Al untuk bukan sahaja menangkis ancaman, tetapi mengatasinya lebih awal,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, sistem yang dibangunkan akan menggabungkan analitik ancaman pintar secara masa nyata, pembelajaran mesin adaptif dan penyulitan Al, sekali gus membolehkan pengesanan awal dan tindakan pantas terhadap sebarang potensi serangan siber.
“Penyelesaian kami bukan sekadar bertindak balas. la mampu menjangka, menyesuaikan dan meneutralkan ancaman secara autonomi, memberi kelebihan strategik kepada negara dalam era digital,” jelasnya.
Perkembangan ini dijangka dapat memperkukuh kemampuan Al dalam kalangan syarikat teknologi tempatan serta memastikan penyelesaian yang dibangunkan menepati keperluan operasi dan persekitaran keselamatan Malaysia.
Mindmatics dan Nexcore turut melihat kerjasama ini sebagai langkah penting untuk memperkasakan kedaulatan teknologi negara, membina kepakaran tempatan dalam Al pertahanan dan meletakkan Malaysia di hadapan dalam pembangunan teknologi keselamatan serantau serta global.
Dengan penggunaan Al sebagai komponen kritikal, kerjasama ini akan menjadikan Malaysia sebagai pemain utama dalam bidang teknologi pertahanan pintar dan bersedia menghadapi cabaran keselamatan semasa serta masa depan.- DagangNews.com
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN