UTHM perkukuh tingkat ekosistem TVET dengan 17 rakan industri
Sumber Berita: MalaysiaGazette
PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memperkukuh usaha mempertingkatkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama 17 rakan industri merentasi pelbagai sektor.
Kerjasama tersebut dimeterai melalui pemeteraian 11 memorandum persefahaman (MoU) dan lapan memorandum perjanjian (MoA) bernilai lebih RM1.5 juta dan meliputi sektor tenaga solar, automasi industri, elektronik, sistem rel, tekstil serta teknologi bangunan.
Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Datuk Seri Ibrahim Ahmad berkata, kerjasama itu penting bagi memastikan universiti kekal relevan dan seiring dengan keperluan sebenar industri.
“Di universiti, kami bukan sekadar menumpukan kepada penghasilan output tetapi kepada pencapaian outcome yang membawa manfaat sebenar kepada masyarakat dan negara,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh baru-baru ini.
Beliau berkata, universiti tidak seharusnya wujud secara terasing sebaliknya perlu berperanan sebagai institusi berorientasikan rakyat yang menyediakan graduan dengan laluan kerjaya yang bermaruah serta ganjaran setimpal.
“Saya melihat strategi yang diterajui oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) bersama rakan-rakan industri ini amat baik kerana kita perlu terus membina model kerjasama yang membolehkan universiti bertindak sebagai penyedia teknologi dan rakan strategik kepada industri,” katanya.
UTHM turut menerima sumbangan endowmen berbentuk peralatan bernilai RM52,000 daripada Solaroo System Sdn Bhd yang merangkumi panel solar, peralatan kursus fotovoltaik (PV) serta penganjuran kursus khas PV untuk kakitangan universiti.
Sementara itu, Mindmatics Sdn Bhd diumumkan rakan industri dalam bidang elektronik pertahanan dan keselamatan siber dengan projek bersama yang merangkumi penambahbaikan sistem radar CAMAR di bawah geran Industry Matching Programme (IMaP) bernilai RM110,800, pembangunan sistem pemantauan komunikasi radio, serta pelaksanaan program latihan cyber range untuk pelajar dan staf UTHM.
Pusat Latihan Industri Profesional (PITC) di bawah FTK juga memainkan peranan penting dalam inisiatif berkenaan dengan menyelaras pelaksanaan program latihan profesional dan penicillin kompetensi. – MalaysiaGazette