Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah Perancangan Pembangunan Markas Angkatan Tentera Malaysia ke Fasilitas Syarikat Mindmatics Sdn Bhd (MSB)
KAJANG, 22 Oktober 25 – Ketua Pengarah Perancangan Pembangunan Markas Angkatan Tentera Malaysia, Mejar Jeneral Omar bin Hj Dawami TUDM, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Teknikal R&D STRIDE/ATM, telah mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke fasiliti Syarikat Mindmatics Sdn. Bhd. (MSB) yang terletak di Taman Kajang Sentral, Kajang.
Lawatan ini diadakan bagi memenuhi jemputan rasmi pihak MSB yang bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh kepada ATM mengenai pembangunan kapasiti dan keupayaan syarikat tersebut. MSB merupakan sebuah entiti tempatan yang telah beroperasi sejak tahun 2001 dan terlibat dalam menyokong keperluan strategik serta kesiagaan pertahanan negara.
Syarikat MSB mempunyai kepakaran luas dalam bidang Defence Electronic Systems (DES) yang merangkumi penyelesaian teknologi maklumat, pengkomputeran dan elektronik. MSB turut menjalin kerjasama langsung dan tidak langsung bersama ATM serta telah merekodkan pelbagai kejayaan dalam pelaksanaan program perolehan pertahanan sejak tahun 2014.
Lawatan ini dilihat sebagai platform penting bagi memperkukuh hubungan kolaborasi strategik antara ATM dan syarikat-syarikat yang berorientasikan teknologi pertahanan dalam merangka usaha pembangunan serta mempertingkatkan keupayaan sokongan pengoperasian dan pengurusan aset ATM secara menyeluruh dan berkesan.
Turut hadir, Pengerusi Bersama Technical Working Group (TWG) daripada ketiga-tiga perkhidmatan ATM, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan dan Inovasi STRIDE dan wakil.




